Konsep
Dan Pengertian Masjid
Masjid
memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan
menegakkan tamadun kehidupan mereka. Takrif atau istilah masjid
berasal daripada bahasa arab iaitu ’masjad’,’sajada’,’yasjudu’ dan ’sujudan’,
yang membawa erti sujud. Berasaskan pengertian inilah perkataan
tersebut digunakan sebagai nama tempat kita melakukan solat yang dikenali
sebagai masjid. Ini kerana, sujud antara gerakan utama dalam
memunaikan solat. Secara terperinci, masjid mempunyai dua erti,
iaitu erti umum dan erti khusus. Masjid dalam erti umum adalah semua
tempat yang digunakan untuk sujud dinamakan masjid kerana Nabi pernah berkata,
Allah menjadikan muka bumi ini sebagai tempat untuk bersujud yakni
masjid. Sedangkan masjid dalam pengertian khusus adalah tempat atau
bangunan yang dibangun khusus untuk menunaikan ibadat, terutama solat secara
berjamaah.
Pengertian
ini juga jika dikupas secara terperinci, ia memecahkan masjid kepada
kategori-kategori iaitu Masjid Jamek dan Surau. Masjid Jamek adalah
merujuk kepada masjid utama sesuatu kawasan ataupun qariah. ’Jamek’
bermaksud besar. Oleh itu, hanya ada satu masjid jamek sahaja di
sesebuah petempatan dan biasanya solat berjemaah yang diwajibkan dilakukan
beramai-ramai seperti solat Jumaat diadakan di masjid ini. Manakala,
masjid yang kecil sesuai dengan keperluan yang hanya digunakan untuk solat lima
waktu samada di kawasan perkampungan, desa, tempat-tempat umum disebut sebagai
’musollah’ iaitu surau.
Dalam
konteks penjelasan lain bagi takrif masjid pula, masjid ialah suatu kawasan
yang mempunyai bangunan yang diperbuat daripada batu dan kayu tetapi dikhaskan
dan diniatkan untuk masjid maka dengan demikian ia telah menjadi masjid. Ia
juga merupakan bangunan rasmi untuk umat Islam melaksanakan kegiatan ibadah
yang biasanya mempunyai mimbar, mihrab, menara dan sebagainya. Konsep
masjid bukan hanya sebagai tempat untuk menunaikan solat atau tempat
berkumpulnya umat Islam dalam kelompok masyarakat di petempatan tertentu. Tetapi
masjid juga merupakan sebuah institusi atau pusat untuk mentadbir dan
mengendalikan masyarakat sesebuah petempatan.
Masjid
juga disebut sebagai Rumah Allah (Baitullah) bahkan sebagai Rumah Masyarakat
(Bait al Jami’). Ianya boleh dijadikan sebagai tempat untuk
mengadakan majlis ilmu, akad nikah, mesyuarat dan lain-lain kegiatan yang
dibenarkan oleh agama. Masjid adalah syiar Islam dan menjadi nadi pembangunan
masyarakat Islam duniawi dan akhirat.
Masjid
mempunyai falsafah yang tersendiri dan yang paling utama adalah untuk mengukuhkan
hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama persekitaran. Antara
falsafah-falsafah masjid yang selebihnya adalah seperti berikut :
- Mengajak
manusia kepada ketakwaan dan menjauhi kemaksiatan.
- Meninggikan
syiar islam dan menghapuskan kesyirikan.
- Mengamankan
manusia dari ketakutan dan mengamankan masyarakat dari persengketaan.
- Menyatukan
perbezaan dan mempertautkan ummah yang berpecah.
- Mengajar
yang jahil dan menyedarkan yang lalai.
- Menyuburkan
penghayatan amal jamai dan amal ijtimai.
No comments:
Post a Comment