Translate

PELAWAT

Friday 2 May 2014

INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM BHG 1


Perkembangan Institusi Pendidikan Islam di Malaysia


Perkembangan pendidikan Islam di Malaysia pada asasnya bermula di dalam istana. Apabila raja Melayu yang terawal memeluk Islam iaitu Sultan Melaka yang pertama, Parameswara atau nama Islamnya Iskandar Shah, beliau telah menjemput ramai alim ulamak untuk mengajar Islam di istana. Pengajaran ini turut diikuti para pembesar istana dan rakyat jelata yang telah memeluk Islam. Kedudukan istana sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam ini berterusan sehinggalah kedatangan penjajah Inggeris pada abad ke-18 Masihi.

Kemudian peranan ini diambil alih oleh Institusi Pondok. Institusi pondok ialah satu sistem pendidikan Islam tradisi di Tanah Melayu. Ia merupakan institusi pengajian yang sangat popular di Tanah Melayu dan Nusantara pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Antara sekolah pondok yang terkenal ketika itu ialah Pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan dan Pondok Lanai di Baling Kedah. Para lulusan pondok keluar sebagai individu penting yang mengetuai banyak institusi kemasyarakatan di Tanah Melayu pada ketika itu seperti institusi masjid, pejabat serta jabatan agama.

Bagaimanapun semenjak tahun 1970-an, kegemilangan institusi pondok mulai pudar. Ia diambil alih oleh institusi madrasah atau sekolah agama/Arab. Banyak institusi pondok telah ditukar kepada sistem sekolah Arab. Namun begitu, ia juga menerima banyak mata pelajaran moden dengan sistem kurikulum yang terancang. Malah sekolah-sekolah ini juga menerima sistem penilaian peperiksaan yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia seperti PMR, SPM dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia).

Dari segi kawalan dan pembiayaan, ada sekolah agama Arab yang tidak dikawal oleh kurikulum pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Dengan itu, mereka tidak diberi bantuan kewangan. Sekolah-sekolah dalam kategori ini dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR). Sekolah ini walaupun mempunyai sistem pengajian tertentu, menerima beberapa mata pelajaran moden dalam kurikulumnya dan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STAM, namun oleh kerana tidak mendapat mendapat bantuan kewangan maka kemudahan institusi ini serba kekurangan.

Kategori kedua ialah sekolah agama Arab yang mendapat bantuan penuh kerajaan dan diserap dalam sistem pendidikan nasional sebagai rangkaian sekolah-sekolah kerajaan. Sekolah-sekolah ini mempunyai nasib yang lebih baik dari segi infrastruktur, pemantauan dan kewangan. Selain itu, kerajaan juga menambah sekolah-sekolah agama yang menjadikan mata pelajaran agama dan bahasa Arab sebagai subjek teras. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan pada peringkat menengah yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA). SMKA merujuk sekolah menengah berasrama penuh yang hanya mengambil pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

 Pada peringkat pengajian tinggi pula terdapat banyak Institusi Pengajian Tinggi Islam yang telah ditubuhkan bagi menampung pertumbuhan pelajar daripada aliran Arab ini. Antara institusi tersebut ialah Universiti Islam Antarbangsa (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Darul Iman (UDI), INSYANIYYAH, Kolej Islam Yayasan Kelantan (KIYAS), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan lain-lain lagi. Selain mempunyai bidang pengkhususan keagamaan seperti Syariah, Usuluddin, Dakwah, dan sebagainya, institusi ini turut menawarkan pengajian akademik dan profesional yang lain seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi.



Selain daripada institusi pengajian tinggi Islam yang khusus, bidang pengajian Islam turut dimasukan dalam institusi awam lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dalam universitiuniversiti ini ditubuhkan fakulti atau jabatan yang menjadikan subjek pengajian Islam sebagai kursus teras yang ditawarkan sepanjang semester.

No comments:

Post a Comment